Suatu ketika, Khabbab bin Arat dan beberapa orang sahabat Rasulullah SAW pergi menghadap baginda untuk mengajukan sebuah soalan: "Wahai Rasulullah, tidakkah anda hendak memintakan pertolongan bagi kami?"
Soalan timbul bukan kerana kecewa mahupun kesal terhadap perjuangan, namun kerana masing-masing berharap dan menginginkan kepada keselamatan. Tidaklah mengejutkan memandangkan Khabbab sendiri telah diseksa dengan teruk; bayangkanlah beliau seorang hamba di tengah Makkah, tanpa seorang pun saudara sekabilah apatah lagi pelindung mudah sahaja menjadi sasaran Musyrikin Makkah untuk memaksanya berbaring di atas bara, dipukul dengan besi panas, dan pelbagai lagi seksaan bagi membunuh moralnya.
Namun mendengar persoalan mereka, wajah Rasulullah berubah merah dan berkata: "Dahulu sebelum kalian, ada seorang laki-laki yang diseksa, tubuhnya dikubur kecuali leher ke atas. Lalu diambil sebuah gergaji untuk menggergaji kepalanya, tetapi seksaan demikian itu tidak sedikit pun dapat memalingkannya dari agamanya. Ada pula yang disikat antara daging dan tulang-tulangnya dengan sikat besi, juga tidak dapat menggoyahkan keimanannya. Sungguh Allah akan menyempurnakan hal tersebut, hingga setiap pengembara yang mengembara dari Shana’a ke Hadramaut, tiada takut kecuali pada Allah Azza wa Jalla."
Berpegang kepada agama ini bukanlah mudah, seumpama menggenggam bara yang memamah tangan, dan hanya kerana berjuang demi Tuhan tidak akan sesekali menjadi pelepasan kepada ujian dan cubaan. Ingatlah Tuhan berfirman:
"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: "kami beriman," sedang mereka tidak diuji?" (Al-'Ankabuut 29:2)
Dan juga:
"Adakah patut kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga, padahal belum sampai kepada kamu (ujian dan cubaan) seperti yang telah berlaku kepada orang-orang yang terdahulu daripada kamu? Mereka telah ditimpa kepapaan (kemusnahan hartabenda) dan serangan penyakit, serta digoncangkan (oleh ancaman bahaya musuh), sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman yang ada bersamanya: Bilakah (datangnya) pertolongan Allah?" Ketahuilah sesungguhnya pertolongan Allah itu dekat (asalkan kamu bersabar dan berpegang teguh kepada agama Allah)." (Al-Baqarah 2:214)
Tidak sesekali tidak! Ujian dan cubaan pasti akan tetap menimpa, dan itulah lumrah perjuangan - dan teruji seorang itu di atas kadar kemampuan imannya. Sedangkan Rasulullah sendiri dalam menegakkan kebenaran telah mengharung Taif dengan sepatu penuh darah, dan tidak sesekali baginda diberikan jalan mudah dalam menyampaikan dakwah.
Di pengakhiran perjuangan ini Tuhan menjanjikan kemenangan kepada agama ini (9:32-33), namun mungkin ia tidak tiba di masa kita dan untuk generasi kita kerana masa juga elemen yang kritikal dalam menentukan kejayaan dakwah. Lamanya menanti tidak seharusnya menggugat yakin kepada janji Tuhan, sebagaimana rijal yang menanti janji Tuhan tidak sesekali mengubah rasa dan percayanya kepada janji tersebut: "Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada yang menunggu giliran; dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun." (Al-Ahzaab 33:23)

Katakanlah kita beriman kepada-Nya, dan beristiqamahlah!
No comments:
Post a Comment