Setiap hari, sekurang-kurangnya 17 kali kita meminta kepada Allah untuk membimbing kita jalan yang lurus.
(اهْدِنَا الصِّرَاطَ الْمُسْتَقِيمَ)
"Tunjukilah kami jalan yang lurus." [Al-Fatihah 1:6]
Ada apa pada jalan yang lurus ini?
Ya! Ia merupakan jalan yang dimana Allah mengganjarkan kenikmatan ke atas mereka yang berada di atasnya. Kita perlu mengingati bahawa nikmat Allah bukan sekadar terhad kepada harta dan kekayaan, ia juga merangkumi kenikmatan yang lebih besar dan luas, terutamanya nikmat berada bersama KEBENARAN.
(- فَمَاذَا بَعْدَ الْحَقِّ إِلَّا الضَّلَالُ فَأَنَّىٰ تُصْرَفُونَ)
"...sesudah nyatanya sesuatu yang betul dan benar, maka tidakkah yang lain daripada itu salah dan karut sahaja? Oleh itu, bagaimana kamu dapat dipesongkan dari kebenaran?" [Yunus 10:32]
Lantaran itu, penting untuk kita bersama kebenaran (الحق) kerana sesuatu selain daripadanya adalah kesesatan (الضلال) dan setiap kesesatan itu berada di dalam neraka. Dan kerana itu juga, secara halus Allah membuatkan hamba-Nya untuk meminta agar mereka bersama kebenaran sekurang-kurangnya 17 kali saban hari! Begitu luas kasih dan rahmat-Nya ke atas kita, sehingga menginginkan kita untuk meminta semoga kita berada di syurga. Bukankah Dia juga tuhan yang merindukan rintihan hamba?
Namun begitu, tidaklah seorang itu berada bersama kebenaran melainkan di atas bimbingan Tuhan. Hanya pada-Nya segala hak untuk membimbing mahupun menjauhkan sesiapa yang dikehendaki-Nya, bahkan Rasulullah sendiri tidak mampu mendatangkan hidayah kepada sesiapa yang baginda mahu.
(- إِنَّكَ لَا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ وَلَٰكِنَّ اللَّهَ يَهْدِي مَنْ يَشَاء)
"Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya ia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayah petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya)..." [Al-Qasas 28:56]
Nuh AS tidak mampu membawa kebenaran kepada anaknya sekalipun dakwahnya mengambil masa selama 950 tahun.
Ibrahim AS tidak mampu mengubah akidah ayahnya sekalipun baginda mempunyai hikmah yang luas.
Muhammad AS tidak mampu mengajak pakciknya Abu Thalib untuk bersama Islam sekalipun baginda sempat bersamanya sekitar 10 tahun sebagai seorang nabi.
Mengapa? Bukan kerana para anbiya' ini tidak mahir atau tidak melakukan kerja mereka, tetapi kerana Allah tidak mengkehendakkan hidayah kepada mad'u tersebut. Dan sesiapa yang tidak dikehendaki Allah baginya hidayah, maka tiada sesuatu pun yang mampu mendatangkan bimbingan kepadanya melainkan dengan izin Allah. Begitu juga sebaliknya.
Jadi bagaimana untuk kita mendapatkan hidayah dalam mana ia tidak boleh melalui kabel, kuota mahupun akta?
Dengan KESUNGGUHAN.
(وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا -)
"Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak ugama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredhaan)..." [Al-Ankabut 29:69]
Nikmat kekayaan Allah datangkan bila mana kita bersungguh dalam bekerja.
Nikmat kesihatan Allah ganjarkan bila mana kita bersungguh dalam menjaga pemakanan dan kebaikan tubuh badan.
Nikmat berada di atas jalan kebenaran Allah datangkan bila mana kita bersungguh dalam memenuhi tuntutan-tuntutan Allah.
Ada juga kala di mana Allah mengganjarkan nikmat kepada manusia tanpa perlu mereka bersungguh untuk mendapatkannya - samada ia istidraj ataupun rahmat daripada Allah. Tapi mengapa untuk mendapatkan nikmat bersama kebenaran ini Allah menuntut kita agar bersungguh untuk mendapatkannya? Kerana nikmat lain, sebagai contoh nikmat kekayaan mampu membeli mahligai di dunia, tetapi nikmat bersama kebenaran ini mampu membeli mahligai di syurga.
Oleh itu, bersungguhlah!
Bersungguhlah dalam menjalankan ketaatan kepada Allah.
Bersungguhlah dalam menyampaikan kebenaran kepada sekalian alam.
Bersungguhlah tatkala ia menuntut pengorbanan masa, tenaga dan juga harta.
Bersungguhlah dalam melepaskan keterikatan yang membelenggu kita kepada dunia.
Bersungguhlah sekalipun berat melakukan perkara yang tidak selari dengan keinginan al-hawa'.
Dan bersungguhlah untuk terus bersungguh.
(-فَاسْتَقِمْ كَمَا أُمِرْتَ )
"Oleh itu, hendaklah engkau (wahai Muhammad) sentiasa tetap teguh di atas jalan yang betul sebagaimana yang diperintahkan kepadamu..." [Hud 11:112]
Kata Rasulullah: "Katakanlah: "aku beriman", kemudian beristiqamahlah."
Ingatlah bahawa manusia itu sungguh-sungguh berada di dalam kerugian, maka perlulah juga ia bersungguh untuk mengeluarkan diri daripada kerugian tersebut.
Berimanlah.
Lakukanlah pembaikan.
Dan teruslah mengingatkan kepada kebenaran dan kesabaran.
No comments:
Post a Comment