20150923

Makna Amal


Amal itu seumpama tubuh; sebagaimana tubuh manusia yang tidak mempunyai jiwa dan ruh itu mati, begitu juga amal. Jiwa dan ruh sesebuah amal itu adalah pada makna, intipati, dan juga niatnya. Jiwa dan ruh inilah yang akan memandu halatuju sesebuah amal itu. Lantaran itu, kebanyakan imam-imam hadis meletakkan hadis yang membawa peringatan yang sama di awal kitab mereka: setiap amal itu disertakan dengan niat, dan setiap darinya akan memperoleh apa yang diniatkan. Sebesar-besar perkara akan menjadi sia-sia jika hilang pada maknanya; hatta hijrah para sahabat juga akan menjadi khali jika makna hijrah itu bukan kerana Allah dan Rasul-Nya


"...maka kecelakaan besar bagi mereka yang bersolat; iaitu mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan solatnya. (Juga bagi) orang yang berkeadaan riak (bangga diri dalam ibadat dan bawaanya), dan mereka yang tidak memberi pertolongan (kepada yang berhak mendapatkannya)." [Surah al-Ma'un 107:4-7]

Di dalam al-Qur'an, Allah SWT mencela segolongan daripada mereka yang bersolat. Mengapa? Sedangkan bersolat itu adalah suatu kemuliaan dan tuntutan dalam beragama - hal ini kerana solat mereka tidak menghayati makna dan intipati solat itu sendiri. 

Solat yang dilakukan adalah untuk seorang hamba itu mengingati Tuhannya, namun mereka tiada khusyu' dan lalai daripada mencapai kesempurnaan solat.
Solat yang seharusnya dilakukan hanya kerana Allah dan untuk mencapai redha-Nya ditunaikan mereka hanya untuk tatapan manusia lain.
Solat itu sepatutnya menundukkan jiwa manusia, menyedari bahawa tiada yang berkuasa melainkan Allah - tetapi hal ini tidak dijiwai dalam solat mereka dan mereka bertindak dengan ego dan menghalang bantuan ke atas yang berhak.

Begitu juga dengan amal-amal yang lain - ia harus mempunyai makna dan intipati, bukan hanya gah pada lahiriah sahaja. Ingatlah Allah mengingatkan manusia dalam menunaikan ibadah qurban:

"Daging dan darah binatang qurban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah, tetapi apa yang sampai kepada-Nya ialah amal yang ikhlas berdasarkan taqwa dari kamu..." [Surah al-Hajj 22:37]

Lamborghini jika tidak dibawa atas kapasiti kelajuannya hanyalah Lambatgitu.

No comments:

Post a Comment