20111227

Cinta Muka Buku


Cinta Muka Buku? Ni bukan cinta muku buku saya; bukan kisah 'kau hantar mesej suruh aku terima kamu'. Bukan jua kisah tentang Cinta Muka Buku nyanyian Najwa Latif, bukan juga Cinta Muka Buku versi Islamik dan bukan pula kisah Nafsu Muka Buku, jauh sekali bercerita tentang Cinta Muka Bulu :P

Tapi ini kisah tentang Cinta Muka Buku yang lain, yang sebenarnya bermain dengan sentimen akidah dan kepercayaan kita.



Pernah lihat gambar ini? Mungkin juga ada yang pernah share gambar ini di laman sosial Facebook.Namun bukan ini tandanya anda cintakan Allah, dan jika anda gagal untuk share gambar ini bukan bermaksud anda cintakan syaitan.

Bila melihat gambar ini, terfikir pula: kalaulah ini caranya membuktikan cinta kita kepada Allah, bagaimana pula ketika zaman Rasulullah SAW dahulu? Zaman itu tidak ada Facebook, jika ada, mungkin ia dikenali sebagai 'wajh-ul-kitab', sebagaimana ia diterjemahkan dalam Bahasa Melayu sebagai 'muka buku'. Mungkin ketika itu Rasulullah bangun di mimbar sambil memegang selembar kulit lembu yang mempunyai tulisan seperti gambar di atas dan menyeru para sahabat untuk menyebarkan mesej ini. Maka berlarilah para sahabat mencari lembaran-lembaran kulit, dedaun dan sebagainya untuk berkongsi mesej ini, kerana mereka ingin membuktikan cinta mereka kepada Allah SWT.

Namun, keadaan tidak berlaku sedemikian. Rasulullah tidak pernah melihat gambar ini, tidak pernah share pun gambar ini di Facebook, tetapi baginda sangat mencintai Allah, dan jauh sekali untuk baginda mencintai syaitan.

Kita lihat sendiri berapa ramai yang share gambar ini di Facebook kemudian apakah kesinambungan mereka dalam hidup ini? Kembali berchatting selepas itu bersama pakwe atau makwe? Bila mana azan berkumandang masih terpaku menghadap komputer? Jadi inikah buktinya kita mencintai Allah? Sekadar berkongsi satu gambar?

Allah SWT tidak pernah menyuruh hamba-Nya untuk melakukan perkara yang tidak mendatangkan sebarang maslahat, baik pada diri mahupun ummah bagi membuktikan cinta mereka kepada-Nya. Dalam membuktikan cinta ini, Allah SWT berfirman:

"Katakanlah (wahai Muhammad): "Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." (Surah Ali 'Imran : 31)

Jika benar kita mencintai Allah, maka buktikan dengan mengikuti sunnah dan suri tauladan Rasulullah:

1. Memberi salam;

“Kamu tidak akan masuk syurga sehinggalah kamu beriman. Dan tidaklah kamu beriman sehinggalah kamu saling menyayangi. Mahukah aku tunjukkan suatu amalan yang jika kamu kerjakan nescaya kamu akan saling menyayangi? Sebarkanlah salam di antara kamu.” (Imam Muslim)
*untuk lebih lanjut, klik sini

2. Menziarahi orang sakit;

“Ada lima Hak seorang Islam keatas orang Islam yang lain : menjawab salam, menziarahinya semasa sakit, melawat jenazah, menerima jemputannya, dan mendo’akannya apabila dia bersin”. (Hadith Riwayat Ahmad, Al-Bukhari, Muslim dan Abu Daud) 
*untuk lebih lanjut, klik sini

3. Senyum :) ;

“Janganlah kamu meremehkan kebaikan apa pun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah ceria dan senyuman).” (Hadis Riwayat Muslim)

"Senyum kalian bagi saudaranya adalah sedekah, beramar makruf dan nahi mungkar yang kalian lakukan untuk saudaranya juga sedekah, dan kalian menunjukkan jalan bagi seseorang yang tersesat juga sedekah." (HR Tirmizi dan Abu Dzar)

 "Tersenyum ketika bertemu saudaramu adalah ibadah." (HR Trimidzi, Ibnu Hibban, dan Baihaqi)

Ini hanyalah beberapa sunnah Rasulullah yang saya kongsikan di sini, yang mudah untuk diamalkan, namun sering ditinggalkan. Amatlah digalakkan kepada semua untuk mendalami sunnah-sunnah lain, kerana meninggikan sunnah Rasul yang merupakan sebahagian daripada syiar Islam datang daripada ketaqwaan hati.


2 comments: