20190326

Al-Mufāji' fil Qissah

Kehidupan ini berlalu dengan singkat - seakan berlalunya satu hari, atau mungkin lebih cepat daripada itu. Namun, sekalipun ianya singkat, kehidupan ini cukup panjang untuk dipenuhi dengan ironi dan plot twists (al-mufāji' fil qissah) sepanjang perjalanannya. Lihat sahaja kisah Musa AS dan seorang 'abdan: dalam sebuah safar ringkas, Musa AS dikejutkan dengan tiga plot twists yang berbeza! -

Ketika Yusuf AS ditinggalkan di dasar telaga, siapa menyangka itu ialah permulaan jalan untuknya di kemudian hari menjadi di antara penguasa kerajaan Misr.

Dan bagaimana saudara Yusuf AS membuangnya dalam keadaan cemburu dan iri, kembali menghadapnya dalam keadaan perlu dan merendah diri.

Dan Musa AS; mana mungkin Fir'aun menyangka di kala mana dirinya membenarkan anak kecil itu membesar di isi rumahnya, akhirnya anak itu kembali ke laman istananya membawa mesej kebenaran Tuhan dan menafikan ke-tuhan-an dirinya, apatah lagi membawanya kepada kejatuhan yang muktamad.

Dan bilamana diseru segenap masyarakat untuk Fir'aun mempamirkan kehebatan dirinya, apa yang terbukti hanyalah kekuasaan Allah. Dan mereka yang dipanggil untuk mendokong aspirasi Fir'aun, akhirnya berpaling sujud kepada Tuhan Musa AS dan Harun AS.

Dan Fir'aun yang dahulunya berkata, "Akulah tuhanmu yang tertinggi!", kemudiannya di dasar lautan dia mati.

Ataupun Umar RA; siapa menyangka di dalam perjalanannya untuk membunuh Rasulullah dan bersama dengan itu, perjuangan membawa Islam ke al-'alamīn, di dalam perjalanan yang sama juga Umar RA mendapatkan hidayah dan bersama dengan itu, lonjakan besar kepada perjuangan Islam. Mereka yang membaca kisah Umar RA hanya hingga keputusannya untuk membunuh Rasulullah pasti terkejut apabila mengetahui Umarlah telah membawa Islam ke era emas!

Tidak dilupakan Abu Lahab; bilamana lahirnya Rasulullah, sahayanyalah yang pertama memberikan susu kepada baginda.  Namun setelah Rasulullah mula membawa dakwah kepada masyarakat Makkah, dialah yang menjadi penentang tegar baginda.

Dan ironinya, gelaran Abu Lahab diberikan kepadanya kerna wajahnya yang tampan - namun di kematiannya, wajah yang dahulunya tampan dipenuhi luka dan nanah sisa sepsis sehinggakan kerabatnya berasa beban untuk menguruskan jenazahnya. Apatahlagi, al-lahab jugalah yang menjadi siksa abadi bagi Abu Lahab di Hari Pembalasan.

Ironi dan plot twists dalam kehidupan manusia menjadi suatu kisah dan pengajaran yang membungkam dalam hayatnya. Apabila ia tiba dalam keadaan tidak disangka, itulah yang menjadikan kita sentiasa mengingatinya dan bersedia untuk menghadapinya jika ia berulang di lain hari.

Dalam realiti, lebih banyak faktor di luar kawalan manusia dan jika hasil atau pengakhirannya berbeza daripada jangkaan kita, tidak semestinya ia sesuatu yang tidak bagus. Dan kehidupan tanpa sebarang kejutan atau ketidaktentuan pastilah ia sesuatu yang amat membosankan -

"Life is what you make it
It's that simple & plain
Sometimes you get sunshine
But for now we got no rain."
- Guantanamo, Outlandish 

No comments:

Post a Comment