Hari-hari berlalu
Indahnya alam tak dapat kutipu
Permai dan menghijau
Damainya terlampau
Pepohon tumbuh mekar
Menghiasi laman ciptaan Ilahi
Gunung-ganang dan bukit-bukau
Mengindahkan pandang dan nian memukau
Sungai mengalir deras
Membawa kejernihan dan kesegaran
Lautan biru yang terhampar
Membawa sejuta rahsia tercipta
Dalam kuimbau, sering daku tertanya
Bukankah ini persis mimpi indah?
Namun benar sangkaku
Segala yang terbayang hanya impian palsu
Pada realitinya, ini mimpi ngeri
Alam yang indah hanya tinggal memori
Mana pergi sang balak gergasi?
Mana hilangnya merbau dan pokok jati?
Dahulunya bernama cengal dan keruing
Kini tinggal hanya puing-puing
Pergunungan yang gagah habis ditarah
Bukit dan bukau habis diratah
Sungai beralir perlahan
Memandu bersama
sisa dan sejuta tinggalan
Ada yang organik, ada yang toksik
Pelarnya kita tak serik-serik
Laut yang biru bertukar kelam
Hasil kerja para zullam
Adakah umat hari ini tidak cakna?
Sehingga terbiar alam menderita
Adakah nafsu terlantik sebagai raja?
Adakah wang dan harta lambang mulia?
Segala kefasadan, segala kemusnahan
Atas bahu siapa kita mahu bebankan?
Bukankah ini salah kita?
Sang kapitalis yang rakus memusnah
Sang rakyat yang membutakan mata
Yang menulikan telinga
Yang membisukan lisannya seribu bahasa
Seakan segala yang berlaku ini tidak mencelaka
Tanpa disedarkan, kita membuktikan firman Tuhan:
Jelaslah segala kerosakan
Di lautan dan daratan
Terkesan dari tangan-tangan insan.
Jangan kita menjadi katalisator
Yang memangkin segala pencemaran
Yang giat menghancurkan ciptaan Tuhan
Dunia yang indah ini untuk semua
Harus dikongsi dan dibelai bersama
Jangan musnahkan demi bahagia sendiri
Jangan jadi insan yang mementingkan diri
Jangan kamu berbuat kerosakan di bumi ini
Setelah islahnya ia dek rahmah Ilahi.
No comments:
Post a Comment