"..(Para malaikat) bertanya (kepada Tuhan tentang hikmah ketetapan-Nya itu): "Adakah Engkau (Allah) hendak menjadikan di bumi itu mereka yang berbuat kerosakan (bencana) dan saling berbunuhan?".."
( Surah al-Baqarah 2:30
Hari ini dunia memanggil-manggil penghuninya agar saling bergandingan tangan bagi membanteras kemusnahan dan pemusnahan yang berlaku. Bahkan, pelbagai petisyen telah dipersetujui bagi menjayakan usaha ini; Protokol Kyoto, Protokol Montreal, dan lain-lain lagi. Apa yang tidak kita lakukan hari ini? Namun hakikatnya segalanya bermula daripada tangan kita sendiri.
Penipisan lapisan ozon, kesan rumah hijau, pulau haba, banjir kilat, tanah runtuh, dan 1001 lagi bencana yang menimpa kita pada hari ini; bukankah semua ini salah kita? Yang giat membangunkan bandar tanpa memikirkan kesan sejagat; yang giat menarah bukit, menggondol hutan demi keuntungan; bukankah ini semua hasil kerja kita? Maka benarlah firman Tuhan: “Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).” ( Surah ar-Rum 30:41)
Atas segala tindakan-tindakan buruk yang kita lakukan kepada bumi Tuhan ini, kerana itulah kita ditimpa pelbagai bencana. Tanpa disedari, Islam telah mengajar konsep pemeliharaan dan pemuliharaan bumi sebelum manusia mula mengenali polusi itu sendiri (agaknya):
“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada mereka yang memperbaik amalan.” ( Surah al-A’raaf 7:56 )
Yang berat sama dipikul, yang ringan dijinjing sama.
Bumi ini tanggungjawab semua, maka janganlah kita memusnahkannya demi kepentingan peribadi. Bersama-sama kita memperbaik kesalahan agar bumi kembali sejahtera; insha-Allah.
“Setiap daripada kamu adalah pemimpin, dan setiap daripada kamu bertanggungjawab atas pimpinannya (tanggungjawab).” |
jaga sampah sendiri kalau malas sangat nak jaga sampah orang lain.
ReplyDelete