20110128

Ibrahim A.S. dan Tarbiah Alam

bismillahirrahmanirrahim;

"Sesungguhnya pada penciptaan langit dan bumi, serta peredaran siang dan malam; terdapat tanda-tanda bagi mereka yang berfikir.''
(Ali Imraan : 190)

Lewat hari ini, ramai yang berpendapat bahawa kewujudan tarbiah itu hanya pada kuliah dan tazkirah, usrah dan jaulah. Namun sangka mereka itu salah, dan akhirnya pandangan-pandangan sebeginilah yang mengakibatkan ramai daripada kalangan yang terlibat dalam tarbiah ini kecundang di saat mereka keluar dari tempat yang mempunyai bi'ah solehah, ataupun mempunyai kesukaran untuk hadir ke majlis-majlis ilmu. Wujudnya pendapat ini diakibatkan kemampuan manusia untuk berfikir dan mentadabbur ditolak mentah-mentah, sebaliknya kita lebih mengharap kepada pentarbiahan langsung. Secara tidak langsung, hal ini menutup pemikiran kita, bahkan lebih mendorong kita untuk menjadi manusia yang taqlid semata-mata. Mungkin juga terjebaknya sebahagian manusia ke permasalahan ini disebabkan mereka tidak memahami firman Allah S.W.T di atas;


Hakikat ayat itu menceritakan tentang tanda-tanda kebesaran Allah yang wujud dalam setiap ciptaan-Nya. Namun begitu, ada ibrah tersembunyi dalam ayat ini. Bagi melihatnya, perlulah kita meneliti ayat selepasnya terdahulu:

"Mereka (ulul albab) yang mengingati Allah dalam keadaan berdiri, duduk dan di atas pembaringan mereka; dan mereka berfikir tentang penciptaan langit dan bumi, seraya berkata: Tuhan kami, tidaklah Engkau mencipta segala-segalanya dalam keadaan bathil (tidak bermakna). Maha Suci Engkau, kami berlindung daripada azab neraka."
(Ali Imran : 191)

Bagi mereka yang berfikir, pasti mereka menyedari bahawa segala ada di alam ini tidak dicipta sia-sia, bahkan terkandung 1001 hikmah penciptaan. Malahan, rahsia sebenar yang terkandung di dalam segala sesuatu adalah tarbiah. Lantaran itulah Allah menyatakan hanya mereka yang berfikir serta berzikir sahaja akan mengerti nilai yang wujud tersembunyi di sebalik cakerawala Ilahi ini. Dan tarbiah tersembunyi ini bukan hanya ada pada ciptaan-Nya, ia juga wujud pada perkara yang berlaku di sekeliling kita, daripada fenomena siang dan malam, hatta terjatuhnya kita sewaktu berjalan. 

Kesan tarbiah alam ini amat hebat, sehingga mampu melahirkan peribadi seperti Ibrahim A.S. Baginda seringkali mentadabbur alam ini, bahkan baginda mengenali kebatilan berhala sedari usia mudanya lagi. Jika direnungkan kembali, tiada siapa pun pernah menceritakan kepadanya tentang kebatilan pujaan kaumnya, dan ayah sendiri merupakan seorang pengukir patung berhala. Jadi bagaimanakah baginda mampu menemui kebenaran sewaktu bi'ah di sekelilingnya tidak membantu?  

Jawapannya mudah, kerana baginda berfikir. Bayangkan jika Ibrahim A.S. selamanya menutup mindanya daripada berfikir, apakah baginda akan menemui kelemahan berhala-berhala itu? Bahkan baginda mengajak ummatnya berfikir sewaktu baginda meletakkan kesalahan menghancurkan berhala lain ke atas bahu sebuah berhala besar, malahan kaumnya sendiri tersedar bahawa berhala ini hanya batu dan kayu, dan semua ini disebabkan mereka berfikir walaupun sejenak. Namun, mereka tetap menolak kebenaran lantaran sombong dan ego.

Kisah yang lain ialah ketika baginda menonton cakerawala dan persembahannya. Apabila terlihat bintang, baginda berkata: "Ini tuhanku". Tetapi, tenggelamnya sang kaukab membuatkan baginda berubah fikiran. Mana mungkin sesuatu yang tenggelam mampu menjadi Tuhannya. Tuhan itu Maha Tinggi, dan tiada yang lebih tinggi daripadanya. Kemudian sang bulan pula muncul. "Ini tuhanku," kata Ibrahim A.S. Namun begitu, sang bulan pergi dan baginda berkata: "Andaikata Tuhanku tidak memberi hidayah kepadaku, nescaya aku tergolong bersama mereka yang sesat". Siang tiba dan sang suria mula memancar. Ibrahim berkata: "Ini tuhanku, kerana ini yang paling besar". Sang suria tidak kekal lama dan akhirnya terbenam, maka Ibrahim A.S. berkata: "Wahai kaumku, aku berlindung daripada apa yang kalian syirikkan. Sesungguhnya aku menghadap Dia yang mencipta langit dan bumi; dalam keadaan lurus dan berserah diri. Dan tidak pula aku tergolong bersama mereka yang syirik".

Sehubungan itu, Ibrahim A.S. menunjukkan kepada kita, dengan mentadabbur alam, tidak bererti kita kerugian. Di samping nilai tarbiah langsung yang diambil daripada perkongsian, usrah, tazkirah dan sebagainya, jangan kita lupa untuk mengambil juga nilai tarbiah tidak langsung daripada fenomena harian di sekeliling kita. Dan harus kita ingat, dalam mentadabbur alam, landaskan ia di atas laluan al-Qur'an dan Sunnah.


1 comment: