20110128

Strategi; Blueprint Kejayaan

Mat Jenin; dengar sahaja nama beliau, datanglah berbagai moral kepada kita. Jangan banyak berangan, jangan panjat pokok kelapa sambil berangan, angan-angan itu membawa padah; namun tiada satu pun yang menyatakan realiti sebenar kisah Mat Jenin. Terbukti, bahawasanya minda masyarakat kita hari ini telah lama dijumudkan oleh penjajah. Langsung kita menutup mata daripada berfikir akan pengajaran sebenar yang terdapat dalam kisah Mat Jenin.

Sebenarnya Mat Jenin merupakan mangsa di sini. Matinya Mat Jenin bukan dek terjatuh daripada pohon kelapa, tetapi penjajahlah yang membunuh karakter ini, kerana mereka takuti hero ini bakal menyebarkan falsafah perancangan dan strategi kepada masyarakat zaman itu.


Perancangan dan strategi. Itulah satu kegagalan ummat Islam pada hari ini, sehinggakan Moche Dayan, seorang jeneral Yahudi menyatakan begitu kepada dunia. Kenapa? Bagaimana kita boleh gagal pada sebuah kerangka yang asas?

Ini kerana mentaliti masyarakat kita pada hari ini telah rosak. Perancangan dan strategi yang baik hanya boleh dilakukan oleh mereka yang jelas matlamatnya, yang mampu melihat ke hadapan secara total; di mana tindakannya lebih cenderung kepada maslahat sejagat, bukan hanya kepentingan diri. Tetapi lihatlah bagaimana masyarakat kita pada hari ini; sudah tidak bermatlamat, masa hadapan pula tidak dipandang dan lebih gemar menetap pada kebahagiaan hari ini. Bahkan sebahagian besar dari kita gagal bermanfaat kepada orang lain, malahan menjadi liabiliti yang membebankan. Semua ini berlaku kerana pemikiran kita terlalu self-centred dan terlalu contempt dengan apa yang kita ada pada hari ini.

Kita lihat kembali pada kisah Jenin: matlamat beliau sangat jelas; beliau ingin beristerikan puteri raja. Maka beliau teliti kembali situasi dirinya pada waktu itu (self-assesment), mana mungkin beliau mampu merealisasikan impiannya jika makannya hanya berlaukkan ikan masin. Jadi beliau mula mengatur strategi; mulanya biar aku jual ayam, kemudian hasilnya aku akan membeli kambing. Kambing-kambing itu biar aku ternak, dan bila tiba masanya aku jual. Secara tidak langsung, aku akan jadi kaya dan aku boleh kahwin dengan puteri raja!

Inilah yang dikatakan merangka strategi:
1. Bercita-cita dan jelas terhadapnya;
2. Mengenalpasti sebarang halangan yang ada;
3. Melihat secara total target dan halangan;
4. Mengatur langkah yang sesuai mengikut tahap kemampuan;
5. Mencapai kejayaan yang diimpikan.

Kerana itulah kita perlu berhenti sejenak dan merangka kembali perjalanan hidup ini.

No comments:

Post a Comment