Afiq merenung jendela. Dilihat gerimis, mungkin awan menangis.
"Aipp, tadi tengahari elok je panas. Ni hujan pulak. Takpela, kasi langgar sajaaa!"
Afiq segera menggapai but f50 Tunit/iTunes nya. Dipandang penuh kasih. Mana taknya, sepasang berharga RM779.00. Pintu rumah dibuka. Afiq menyarungkan but kesayangannya itu. Tiba-tiba: ZAAAAAAAAAAAAP!
Guruh berdentum kuat. Hujan yang renyai menjadi lebat: mencurah air hujan gugur ke bumi umpama hujan anjing dan kucing (<--pepatah Inggeris).
"CADAR! Spoil plan aku harini! Asal tetiba lebat ni!? Hujan memang spoil la!" gumam Afiq sendiri. Bengang. Segala yang dirancang habis batal.
Jauh di atas, Awan mendengar segala cetusan lisan Afiq. Benar, Awan tidak bernyawa. Tapi dalam personifikasi cerita, Awan ini punya rasa kecewa. Awan juga makhluk yang Maha Esa. Bukan atas kehendak Awan turunnya hujan, tapi atas kekuasaan Tuhan. Dengan jiwa penuh hampa, Awan bermonolog:
Hujan.
Apa salah hujan?
Sedangkan umum sedar rahmat ada dalam hujan.
Tapi bila gugurnya hujan,
pelbagai cetusan timbul, sejuta luahan izhar:
basah kainku di jemuran
habis batal semua perancangan
dan lain-lain getusan hati.
Aku hairan.
Lupakah mereka dalam hujan itu ada rahmat Tuhan?
Kerana hujan, apa yang kering Tuhan hidupkan semula.
Hujan juga yang menyediakan balas jawapan,
bila mana didatangkan tohmahan fitnah ke atas pemimpin daerah Jarakatau.
Kata mereka pemimpin daerah Jarakatau gagal menangani isu air.
Kata mereka empangan hampir kekeringan air.
Tupp tupp tupp. Hujan turun bukan hanya lebat sekali, bahkan berkali-kali.
Rupanya bukan empangan kekeringan bekal,
yang sebenarnya Syarikat TAHNIAH ada makar jahat perangai dajal
ingin jatuhkan pimpinan Muafakat Masyarakat.
Dan hujan mendedahkan segala penipuan dan dusta yang nista.
Aku hairan.
Lupakah mereka hujan itu yang menyuci alam?
Dalam kabut polusi udara, penuh elemen kimia berbahaya
hujan turun membersih segala.
Ya! Ada juga hujan asid. Tapi hujan asid itu salah siapa?
Mahu disalahkan lagi hujan yang tiada nyawa?
Kenapa tidak dibebankan salah ini atas bahu kapitalis-kapitalis gila?
Yang menoreh bumi, menabrak segala isi untuk penuhi akaun-akaun Switzerland mereka?
Kenapa tidak dituding jari kepada politikus dan tukang polisi?
Yang membenar segala fasad dan membisu segala undang-undang hanya untuk menjaga posisi?
Kenapa tidak disalahkan diri sendiri?
Yang gila mengejar posesi, sehingga lupa alam ini hampir mati.
Aku hairan lagi.
Dalam sibuk mencerca hujan, lupakah mereka Nabi pernah berkata:
Mu'min itu umpama hujan; di mana turunnya ia, di situ manfaatnya ada.
Lalu, jerkah mereka:
KHABARKAN PADA KAMI MANA MANFAAT DALAM SI RIBUT?
YANG AKHIRNYA BANJIR, HABIS ROSAK SEGALA HARTA?
Itu pandang singkat manusia.
Benar, buruk banjir itu. Benar, buruk juga ribut itu.
Tapi dalam ribut dan bah itu ada peringatan;
membawa pemberitahuan kepada insan buruknya kesan pembangunan.
Bukan aku ini anti-pembangunan, tapi aku anti-sifat rakus kamu semua
yang gilakan harta, gilakan kuasa. Lupa kamu alam ini Tuhan jadikan berupaya membalas.
Banjir itu bukan dendam. Banjir itu peringatan.
Yang kamu bangunkan tanpa ingat akan sebarang kesan, akhirnya diri kamu ia makan.
Inilah peringatan.
Inilah manfaatnya;
kalau kamu benar beriman. Atas sabda Tuhan: peringatan itu bermanfaat buat mereka yang beriman.
Sejuta satu kebaikan dalam hujan.
Tapi hujan terus dicerca.
Hujan terus dipersoal akan hadirnya.
Biarlah manusia terus berbicara.
Aku yakin hujan tetap akan berbakti.
Kerana di mana ia hadir, ia pasti bermanfaat.
No comments:
Post a Comment