There's no turning back. |
“ Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati. ” (Surah Ali Imran : 185)
Begitulah janji Tuhan. Dari seekor kuman di tubuh kita sehinggalah sebesar paus biru, setiap pengemis di negeri Jepun sehinggalah pemilik jutaan ringgit di penghujung Alaska, semuanya, setiap satu tidak mampu menangguh saat ketibaannya, menepati firman Allah S.W.T:
“ Apabila telah datang ajal mereka ,mereka tidak dapat mengundurkannya walau sesaat pun, dan tidak pula mendahulukannya. “ (Surah Yunus : 49)
Pantang maut sebelum ajal, siapa menyangka Khalid tidak menghembus nafas terakhirnya di kancah peperangan. Dan telah tertulis di mana dan bila tarikh kematian itu, meski kita bersembunyi di sebalik tembok yang tinggi, tetap kematian itu akan datang, sebagaimana Allah merakam ayat-Nya itu di dalam al-Qur’an:
“ Di mana saja kamu berada , kematian akan mendapatkan kamu, sekalipun kamu berada di dalam benteng yang tinggi lagi kukuh. “ (Surah an-Nisaa’ : 78)
Membaca ayat ini mengingatkan kita kembali kepada kisah seorang lelaki yang hidupnya di zaman Nabi Sulaiman A.S. Lelaki tersebut merasa gusar lantaran seorang lelaki lain yang dilihatnya acapkali merenung dirinya. Maka, disebabkan ketakutan yang dialaminya, lelaki tersebut meminta kepada Sulaiman A.S untuk menghantarnya ke suatu tempat yang jauh. Tanpa sebarang kesusahan, angin Sulaiman A.S mencampakkan lelaki tersebut di sebuah pulau terbiar dan lelaki tersebut mati di sana. Nabi Sulaiman bertanya kepada lelaki yang sering memandang lelaki tadi akan perihalnya, maka lelaki tersebut menjawab:
“Aku merupakan malaikat maut yang diutuskan Allah untuk mengambil nyawa lelaki tadi di sebuah pulau terbiar tetapi aku merasa hairan kerana meskipun saat kematian lelaki tadi kian menghampiri, dia masih berada di sini. Akhirnya aku berjaya menarik nyawanya di pulau tersebut tepat pada waktu yang dijanjikan Allah.”
Bukan kisah ini sahaja yang menjadi bukti kebenaran firman Allah, bahkan banyak lagi kisah yang ada, sama ada tercatit atau tidak tercatit di mana-mana penulisan yang ada.
Kematian pada hakikatnya merupakan satu pemisahan dari alam dunia ke alam akhirat. Maka, dengan itu terputuslah manusia dari segala apa yang diusahakannya sewaktu hayatnya melainkan tiga perkara yang dinyatakan Nabi dalam hadis baginda yang berbunyi:
“ Apabila mati seorang anak Adam itu maka putuslah amalannya melainkan tiga perkara: sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat, doa anak yang soleh.”
Pernah sekali Nabi menyatakan kepada para sahabat baginda:
“ Cukup mati itu sebagai peringatan.”
Mungkin itulah hikmahnya Allah menurunkan solat jenazah, agar pada waktu itu teringat kita meski buat seketika tentang kematian. Malahan di sebuah hadis Nabi yang lain ada menyatakan bahawa mereka yang bijak itu adalah yang mengingati kematian. Bukan itu sahaja, persiapan diri dalam menghadapi kematian itu merupakan suatu arahan dari Allah sebagaimana firman-Nya:
“ Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah dibuatnya untuk hari esok(akhirat).” (Surah al-Hasyr :18)
Dari sini datang keperluan untuk muhasabah diri. Muhasabah dilakukan bukan semata untuk melihat kesalahan yang dilakukan sebelum ini, bahkan ia dilakukan untuk memperbaiki amal masa hadapan. Tetapi sayangnya, kebanyakan manusia sering melupakan kematian itu sendiri sehingga Allah merakamkan peristiwa ini dalam al-Qur’an pada Surah al-A’raaf yang tertulis:
“ Maka apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan siksaan Kami kepada mereka di malam hari di waktu mereka sedang tidur? Atau apakah penduduk negeri-negeri itu merasa aman dari kedatangan siksaan Kami kepada mereka di waktu matahari sepenggalahan naik ketika mereka sedang bermain? “ (Surah al-A’raaf : 97-98)
Dari pandangan zahirnya, ayat ini menceritakan tentang sebuah negeri di mana penduduk negeri tersebut sering melupakan tentang azab Allah sedang mereka tidak mengetahui bila ia akan tiba. Bila dikaitkan potongan ayat al-Qur’an diatas dengan kematian, seakan ia menceritakan perihal ummat masa kini, acapkali melupakan kematian, sekalipun mereka selalu meraikan birthday diri mahupun teman-teman, tanpa merasakan bahawa umur yang lanjut itu membawa kita hampir kepada kematian. Tiada persediaan untuk menghadapi mati dilakukan, malahan kalimah “ nanti nak mati aku taubat ah” sering diungkapkan sekalipun ia bertentangan dengan konsep taubat itu sendiri, sebagaimana firman Allah azza wajalla:
“ Dan tidaklah taubat itu diterima Allah dari orang-orang yang mengerjakan kejahatan (yang) hingga apabila datang ajal kepada seseorang di antara mereka, (barulah) ia mengatakan : "Sesungguhnya saya bertaubat sekarang." Dan tidak (pula diterima taubat) orang-orang yang mati sedang mereka di dalam kekafiran. Bagi orang-orang itu telah Kami sediakan siksa yang pedih. ” (Surah an-Nisaa’ : 18)
Pernah satu hari Nabi menceritakan kepada para sahabat tentang penyakit al-wahan yang bakal menimpa ummat Islam akhir zaman. Kesemua sahabat tertanya-tanya apakah al-wahan itu, lantas Rasulullah menjawab:
“ Cintakan dunia dan takutkan kematian. ”
Apa yang dikatakan Rasulullah benar-benar terjadi. Cuba alih pandangan kepada negara Dubai, negara Islam yang boleh dikatakan sebagai the richest country in the world. Kesemua bangunan dibina ada ciri istimewa sendiri, ada yang sehingga mencecah ke dasar lautan, semua dilakukan seperti dunia ini kekasih mereka, diberi perhiasan yang hebat dan mewah, seakan kehidupan yang abadi itu ada di dunia. Sikap manusia yang menakuti kematian itu boleh dilihat semenjak dahulukala. Pernahkah kita mendengari suatu kota yang bernama Shangri-La? Bukan hotel 5 bintang, tetapi ia merupakan satu mitos mengenai sebuah kota keabadian yang pernah diburu oleh beberapa manusia pada suatu masa dahulu yang mempercayai kewujudannya, lantas menyedarkan kita bahawa ketakutan manusia kepada pengakhiran membawa mereka kepada kepercayaan karut yang direka olah mereka sendiri.
Kesimpulannya, kematian yang ditakuti itu ada dan pasti mengunjung tiba, jadi kenapa perlu berusaha untuk lari daripadanya? Bukankah selayaknya kita bersedia untuk menghadapinya, agar bersama kita menjadi mereka yang bijak sebagaimana yang dikhabarkan Nabi Muhammad S.A.W:
“ Mereka yang bijak itu ialah yang senantiasa mengingati mati. ”
No comments:
Post a Comment