20110201

Memang Aku Bukan..



Memang aku bukan Abu Bakar,
Yang bersama ar-Rasul di waktu sukar,
Yang menahan bisa kerana cinta,
Yang mengorbankan segala di jalan Yang Esa,
Kerana yakin dan percaya pada janji Rasul-Nya,
Yang pertama menjadi khalifah,
Selepas perginya si Habibullah,
Yang berkeras terhadap golongan riddah,
Yang menghapus gerakan Thulaiha dan Musailamah,
Yang mampu berkata dengan megahnya,
"Apakah kan runtuh agama,
Sedang aku masih bernyawa?";


Memang aku bukan Umar al-Khattab,
Peribadi perkasa beriman mantap,
Yang dulunya musuh yang digeruni,
Kemudiannya menjadi pembela sejati,
Yang pertama bergelar Amirul Mu'minin,
Yang giat meluaskan empayar Muslimin,
Yang menumbangkan Kerajaan Parsi,
Yang menggegarkan Kerajaan Romawi,
Namun tawadhu'nya tinggi sekali,
Sekalipun dia yang membuka tanah Al-Quds,
Datangnya menuntun unta tunggangan,
Kaosnya pula jubah bertampal,
Bahkan pernah beliau berkata,
"Aku hanya seorang Umar,
Mulianya aku kerana Islam."

Tapi aku tetap aku,
Satu entiti di alaf baru,
Yang berusaha menggapai mardhatillah,
Dengan berjuang di jalan dakwah,
Menyampaikan madah iman dan kalam tarbiah,
Untuk merealisasikan impian khilafah,
Mungkin aku insan biasa,
Yang tak dikenali di mata dunia,
Tapi aku punya cita,
Untuk merubah sejarah kita.

::el-Ghaith::

1 comment: