20150923

Makna Amal


Amal itu seumpama tubuh; sebagaimana tubuh manusia yang tidak mempunyai jiwa dan ruh itu mati, begitu juga amal. Jiwa dan ruh sesebuah amal itu adalah pada makna, intipati, dan juga niatnya. Jiwa dan ruh inilah yang akan memandu halatuju sesebuah amal itu. Lantaran itu, kebanyakan imam-imam hadis meletakkan hadis yang membawa peringatan yang sama di awal kitab mereka: setiap amal itu disertakan dengan niat, dan setiap darinya akan memperoleh apa yang diniatkan. Sebesar-besar perkara akan menjadi sia-sia jika hilang pada maknanya; hatta hijrah para sahabat juga akan menjadi khali jika makna hijrah itu bukan kerana Allah dan Rasul-Nya

20150425

Luah

Menjadi lebih Muslim itu bukan harus ditunjukkan kepada insan
tapi harus pembuktian dipaparkan kepada Tuhan
kerana pengukur kemuliaan ialah taqwa
dan hanya Tuhan mampu membacanya
lantaran taqwa berselindung di balik dada.

Menjadi Muslim harus mengabdi pada Tuhan
bukan cuba mengganti Tuhan
neraka dan syurga belum tentu bagi insan
bagaimana insan mahu menentukan neraka dan syurga sesama insan?
Sifat Tuhan yang pemurah itu berat untuk ditiru
mengapa sifat Tuhan yang mengazab itu paling gemar dilaku?

Moga Tuhan menunjukkan jalan
moga Tuhan memberi ihsan.